Tip menjadi sahabat ★
16.11.12, 5:18 PM , 0 Bubbles
Dalam membina persahabatan, terdapat beberapa tip menjadi sahabat sejati dan mendapatkan sahabat sejati. Bukan main hentam saja. Sebab itulah ada sesetengah kawan kecewa dalam persahabatan. Kecewa seperti putus cinta dan ditinggalkan kekasih. Seakan-akan kawan sedia ada tidak wujud baginya kerana sahabat yang disayanginya pergi meninggalkannya.
Saya tidak mahu perkara ini berlaku kepada diri kita. Maka itu, kita mesti ada resepi-resepi untuk membina persahabatan. Antaranya ialah;
-Bersahabat kerana Allah SWT.
Dalam persahabatan kita perlu ikhlas. Ikhlas ini hadir apabila niat dan hati kita bersih. Bersih daripada perkara-perkara yang Allah SWT tidak redha. Bersahabat kerana Allah SWT bukan kerana harta, kepintaran, keturunan, nafsu syahwat, pengaruh, kuasa dan sebagainya. Kita bersahabat untuk mendapatkan pahala daripada Allah SWT bukannya mengharapkan kebaikan kita dibalas oleh sahabat kita.
-Bersahabat perlu berlapang dada.
Sahabat adalah orang yang sangat rapat dengan kita. Boleh dikatakan aktiviti harian kita diketahuinya. Kekadang kita banyak persamaan dengannya seperti makanan dan minuman kegemaran, sukan, hobi dan prinsip hidup.
Oleh itu, hati kita mudah tersentuh dan terguris apabila sahabat kita berubah perilaku dan berkasar bahasa dengan kita. Jadi, cara untuk mengatasi masalah hati ini agar tidak terkecewa dan persahabatan terus berkekalan ialah berlapang dadalah. Cubalah untuk memahami. Berdoalah kepada Allah SWT agar persahabatan itu berkekalan.
-Mampu beritsar dalam persahabatan.
Itsar merupakan peringkat Ukhuwah (persahabatan) yang tertinggi. Itsar bermaksud melebihkan sahabatnya berbanding dirinya sendiri. Mampu tak! Saya yakin kita mampu buat. Apa penting teruskan pergantungan kepada Allah SWT dan berusaha mencapai ke arah itu.
Ini pernah dibuktikan oleh kaum Ansar dengan kaum Muhajirin semasa peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.
Bagaimana dengan diri kita?
Mampukah?
Terserah kepada diri masing-masing. Sekiranya bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Tidak mustahil anda akan mendapatkannya.
-Wujud kefahaman yang sama berkenaan makna persahabatan.
Ada juga antara kita masih kurang memahami erti persahabatan. Ada juga memahami erti persahabatan tetapi kefahamannya hanya untuk dirinya. Manakala sahabatnya pula tidak memahami erti persahabatan. Pendek kata 'bertepuk sebelah tangan, tidak mungkin berbunyi.'
Kita sudah berbaik dengannya, tetapi dia tidak menghiraukan kita. Kekadang, kehadiran kita tiada erti baginya.
Sekiranya kita berhadapan situasi ini. Saya sarankan jangan cepat menghukum dan berputus asa. Kemudian nekad tidak mahu mencari sahabat. Jangan begitu kawan.
Mungkin dia tidak faham maksud kita bersahabat dengannya atau dia tidak tahu apa erti persahabatan dalam kehidupan.
Jadi, peranan kita yang tahu erti persahabatan, fahamkan apa itu persahabatan. Kenapa perlu ada sahabat. Banyak lagi cara yang boleh kita gunakan seperti hadiahkan buku berkenaan kisah persahabatan, ajak makan bersama, beriktikaf bersama, dan jalan-jalan bersama. InsyaAllah, sekiranya perkara tersebut dilakukakan hanya mencari keredhaan Allah SWT. Tidak mustahil anda akan bahagia dan tenang bersama sahabat anda.
Begitu juga dengan mereka yang tidak faham erti persahabatan. Jangan duduk diam. Berusaha dan korbankan sedikit masa membaca buku dan artikel berkenaan persahabatan. Aktif bertanya jika perlu.
InsyaAllah anda akan menemui nilai persahabatan.
Selamat Mencuba!
via iluvislam
|